Ibadah solat merupakan rukun Islam ke-2 yang
wajib ditunaikan oleh semua umat Islam. Kewajipan pelaksanaannya ditegaskan
oleh Allah S.W.T dalam firmannya yang bermaksud:
“Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan
rukuklah bersama orang-orang yang rukuk” (Surah al-Baqarah ayat 43)
Solat adalah ibadah yang utama
dalam kehidupan umat Islam. Ia diibaratkan tiang seri yang berdiri kukuh
menunjangi ibadah-ibadah fardhu yang lain. Sabda Rasulullah S.A.W yang
bemaksud:
“Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa
yang mendirikannya maka dia menegakkan agama dan barang siapa yang
meninggalkannya bererti dia meruntuhkan agama” (H.R Bukhari)
Perbincangan mengenai ibadah solat
termasuk dalam silibus mata pelajaran Pendidikan Islam dari peringkat sekolah rendah
hingga menengah. Malah pelaksanaannya amat dititikberatkan dalam Perkara Asas
Fardhu Ain (PAFA). Selaras dengan perkembangan pembelajaran abad ke-21,
guru-guru sewajarnya memiliki sifat
kreatif dan inovatif dalam melaksananakan pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah bagi mengatasi sebarang permasalahan yang timbul (Rosnanaini et.
al 2014). Atas dasar ini, inovasi permainan “Eksplorasi Jom Solat”
diperkenalkan kepada murid untuk membantu mereka menguasai isi pelajaran
seterusnya memahami tatacara pelaksanaan ibadah solat menerusi konsep “akses
kendiri” dan “didik hibur” (Edutainment).